Ya Allah ya tuhan kami, ampunkanlah dosa kami, dosa-dosa terdahulu yang belum sempat kami bertaubat, dosa-dosa yang kami lakukan secara terang-terangan atau ketika bersendirian. Dosa yang kami lakukan dalam keadaan sedar dan jaga atau dosa-dosa yang tidak kami sengajakan.
Ya Allah, ampunkan dosa kami, kami tidak khusyuk dalam solat, di kala waktu solat kami sering fikir perkara dunia. Kami tidak merasakan seolah-olah Engkau sedang memerhatikan kami ketika kami solat. Kami solat sambil lewa tanpa menghadirkan hati kami. Kami sering melewatkan waktu solat, kami sentiasa disibukkan dengan dunia, kami dilalaikan dengan permainan-permainan dunia seperti internet, telefon, laptop,pelajaran dan lain-lain ya Allah
Ya Allah, ampunkan dosa kami. Kami malas untuk bangun qiam. Kami sayangkan katil kami, selimut kami, bantal peluk kami daripadakan merindukan syurgaMu ya Allah. Kami tidak seperti para perindu jannah yang lain, yang di kala malam merenggangkan rusuk mereka dari tempat pembaringan. Ya Allah, di kala dua pertiga malam, Kau turun ke langit dunia untuk mendengar keluhan dan rintihan hamba-hambaMu, Kau perkenankan doa-doa orang yang meminta dengan penuh harapan daripada Mu di kala dinihari tapi Kau hanya boleh dengar dengkuran kami, kerana kami tidak bangun qiam ya Allah.
Ya Allah, ampunkan dosa kami. Kami sentiasa menjadikan dunia matlamat kami. kami meletakkan dunia di hati kami, kami sayang dunia,. Ya Allah, kami tidak bersedia untuk mati. Kami takutkan mati, kami cintakan dunia, kami menderita penyakit wahan kami menangis kerana dunia ya Allah, kami menangis kerana manusia, kami menangis kerana duit dan harta Tapi kami tidak menangis kerana takutkan nerakaMu. Kami tidak menangis kerana takutkan azabMu. Air mata kami mahal, hati kami keras kerana tidak mahu menangis mengenangkan dosa kami sedangkan hati-hati orang beriman sepatutnya bergetar apabila menyebut namaMu kerana takutkan Mu. Tapi kami masih tertawa tatkala menyebut namaMu, malah kami mempermainkan namaMu. Kami bersumpah dan berjanji menggunakan namaMu tetapi kami tidak kotakan.
Ya Allah, ampunkan dosa kami ya Allah. Kami kata kami daie, mengajak orang kepada Allah tetapi kami lupa kepada diri kami sendiri. Kami tidak melakukan perkara-perkara yang kami katakan. Ilmu-ilmu agama kami yang banyak tidak dapat membentuk diri kami. Ya Allah, jauhkan lah kami daripada riya’ dalam mengerjakan dakwah, peliharalah diri kami daripada penyakit-penyakit hati seperti ujub, takbur, dengki, hasad, bersangka buruk, dan lain-lain.
Ya Allah ampunkan dosa kami. Kami banyak bergurau senda,kami banyak cakap-cakap kosong yang tidak akan membantu kami untuk ke syurga, kami banyak tertawa padahal kami tahu ketawa banyak itu mematikan hati. Kami berbohong ketika bergurau, kami menyakitkan hati kawan-kawan kami dengan kata-kata kami, dengan jenaka kami. Kami kurang ingat mati. Kami tidak ingat pada api nerakaMu. Kami lupa yang api di dunia ini hanya sekecil biji sawi berbanding api nerakaMu dan pastinya berganda-ganda lagi panasnya.
Ya Allah, kami tidak menggunakan masa kami sebaiknya, kami banyak menggunakan masa kami untuk membuat perkara yang tidak berfaedah, perkara yang tidak menambah iman kami. Kami banyak membuang masa padahal nabi telah bersabda bahawa di hari akhirat kelak akan dipersoalkan apakah yang telah kami buat ketika hidup terutamanya pada waktu muda.
Kami tidak belajar bersungguh-sungguh sepanjang tahun sedangkan kami tahu menuntut ilmu itu wajib. Tatkala peperiksaan hampir dekat barulah kami bekerja keras di saat-saat akhir. Kami tidak merasakan studi itu adalah ibadah, kami mengecilkan skop ibadah hanya kepada solat, puasa, zakat,haji dan usrah sahaja. Kami tidak bersungguh-sungguh di dalam kerja kami padahal umat islam perlu cemerlang dalam segala bidang.
Ya Allah, ampunkan kami kerana tidak menunaikan amanah ibu bapa kami, kami dihantar ke sini untuk belajar tapi kami bermain-main. Kami ponteng kelas ya Allah, kami tidak serius menuntut ilmu, kami mengumpat pensyarah, kami maki hamun orang arab dan mcm2 lagi ya Allah.
Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ambillah nyawa kami ketika iman kami yang terbaik, amal kami yang terbaik, infaq kami yang terbaik. Anugerahkanlah kami mati syahid. Jadikan kami dari kalangan hambaMu yang bersyukur.
1 comments:
Salam. Satu karangan doa yang baik dan berterus terang. Banyak sekali kelemahan diri yang perlu diperbaik apabila membaca doa ini. Terima kasih dia tas sentuhan nurani yang terkesan di hati.
Post a Comment