Jun 16, 2010

lelah dan lesu.

Assalamualaikum… Apa khabar sahabat? Apa khabar iman kita, sang daie? Sahabat, kita punyai banyak tugas, tugas yang melebihi masa yang ada. Banyak perkara yang kita perlu fikir…[aktiviti bersama mad'u, program akan datang, strategi baru untuk me'lasso' adik-adik tahun depan dan tidak ketinggalan, study kita…] kadang-kadang kita rasa sangat penat, sangat letih, sangat perlukan rehat hingga rasa macam hampir collapse. Sahabat, ini tugas kita kerana Allah, kerana kita ingin mencari redha Allah, kerana kita cinta akan Allah dan kita amat-amat perlukan Allah. Kita juga mendambakan redhaNya. Tambah-tambah lagi kita sayang akan rakan-rakan kita, kita nak mereka dengar dan faham Islam macam kita faham. Masih ramai masyarakat yang belum dengar Islam dan faham Islam yang syumul ini.

Sahabat, penat itu amat terasa, kan! Tapi, mari kita lihat firman Allah Surah Fatir ayat 32 hingga 35. Sahabat, kita sebenarnya orang-orang yang Allah pilih untuk mewarisi kitab AlQuran dan Allah menjanjikan nikmat yang paling besar kepada hambaNya yang mewarisi kitab suci ini dari Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Syurga 'Adn. Kitab ini bukan sahaja kita warisi tapi kita juga beramal dan berusaha untuk menyampaikannya. Sahabat yang dikasihi, nikmat ini tidak terbayang diimaginasi kita. Di sana, semua yang terlintas difikiran, akan diperoleh; perkara yang diidamkan akan menjadi realiti.

" Dan mereka (pewaris Al-Quran) berkata, 'segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan dari kami. Sungguh, Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun, Maha Mensyukuri, yang dengan kurniaNya menempatkan kami dalam tempat yang kekal (syurga); didalamnya kami tidak merasa lelah dan tidak pula merasa lesu. "[35:34-35]

Sahabat, Allah pujuk kita dengan syurga 'Adn dan Allah pujuk kita dengan menghilangkan sedih, rasa penat dan lelah kita di dunia ini. Janganlah bersedih wahai sahabatku, kerana ini adalah pujukan yang paling manis dan istimewa dari Pencipta kepada hambaNya. Bukankah rehat disana nanti yang lebih kita idamkan? Kerana dunia ini hanya sementara, yang menjadi ladang untuk kita bersusah-susah tanam tanaman pahala, sayur kebaikan dan buah amalan soleh yang nantinya kita tuai dan dapatkan hasil di akhirat sana. Namun, perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang lumayan tersebut.

Tapi, layakkah kita menerima semua ini? Dengan usaha kita yang tidak seberapa… dengan sikap kita yang malas… dengan niat yang bercabang-cabang… dengan mengaharapkan imbalan atau saguhati….

Dalam firman Allah, surah An-Nisa’;

" …. Apabila mereka (orang munafik) berdiri untuk solat, mereka lakukan dengan malas. Mereka bermaksud riya' dihadapan manusia. Dan mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit. " [4:142]

" Sungguh, orang munafik ditempatkan pada tingkatan paling bawah dari neraka…" [4:145]

" Kecuali orang yang bertaubat dan membaiki diri dan berpegang teguh pada agama Allah dengan tulus ikhlas menjalankan agama mereka kerana Allah " [4:146]

Tidak mengapa kalau dulu kita lalai dan malas. Tapi sekarang kita sudah sedar dan faham. Kita mahu mengejar syurga 'Adn bukan mengejar seperti main kejar-kejar tapi kejar macam lari pecut 100 meter… kita tidak mahu terlepas dari tawaran istimewa ini. Mulakan dari sekarang, sahabat! Kita tidak boleh malas-malas lagi, tidak boleh tangguh-tangguh walaupun sesaat dan tidak boleh melayan nafsu lagi. Walaupun penat, lelah, letih dirasai… rehat sekadar keperluan, bukan melebih-lebih dan megikut nafsu. Kerana sayangku, kita sangat-sangat faham yang kita ada banyak tugas yang perlu diselesaikan. Namun, jangan dilupai, kesihatan juga perlu dijaga.

**bukan sekadar bacaan, namun buat peringatan diri dan sahabat yang disayangi…. Berdasarkan pengalaman, lalu mencari pengajaran disebaliknya dan merungkai ayat-ayat Allah yang menembak diri ini.
Categories:

0 comments: