Oct 18, 2009

Bagaimana Menyentuh Hati





Assalamualaikum w.b.t

Pertamanya,ingin aku menyatakan di sini bahawa aku bukan ingin mengulas buku Bagaimana Menyentuh Hati oleh Abbas As-sisi(lihat tajuk).

Aku hanya mahu berbicara tentang bagaimana menyentuh hati. Bagaimana aku boleh memikat hati-hati mereka agar bersatu dengan hatiku. Bagaimana caranya agar aku mampu menyelam hati mereka dengan harapan mereka jua dapat memahami segala rasa hatiku.

Bila aku bersama dengan mereka,aku hanya mahu memandang mereka dengan pandangan kasih dan sayang. Pabila mereka datang padaku,menceritakan segala perihal tentang mereka setelah lama tidak bersua,aku hanya mahu mendengar dengan bersungguh-sungguh,memberi respon serta memujuk hati mereka bila mereka sudah mula merasa lemah dalam menjalani hidup. Aku hanya mahu menggunakan segala nikmat pendengaran ini untuk mendengarkan segala luahan mereka.

Bila aku mula menitipkan kata-kata,aku hanya mahu yang datang dari lidah ini , kata-kata yang dapat dijadikan sebagai penghibur,penyejuk hati mereka di kala mereka sedang berduka. Kata-kata yang berupaya di jadikan mutiara sebagai pedoman dan panduan.

Dan bila aku mula menulis, menyatakan khabarku di sini atau ingin berkongsi segala apa yang aku rasa disini dengan mereka,aku jua mahu menulis dari hati. Biarlah setiap bait-bait tulisan di sini semuanya tulus dari hatiku. Aku mahu zahirkan segalanya dari hatiku agar mereka tahu betapa aku mahu mereka memahami bahawa hati ini dan hati mereka diciptakan bukan untuk perkara sia-sia saja.

Aku mahu mereka tahu bahawa kehadiranku di sini bukan semata-mata sebagai sahabat, teman, kakak, ibu atau sesiapa sahaja. Bahkan aku mahu mereka merasa kehadiranku sebagai salah seorang dari mereka, yang sentiasa bersama dengan mereka dalam menempuh liku-liku yang belum tentu indah,

Aku juga mahu menjadi seorang yang tidak akan putus-putus meniup semangat di kala mereka mula hilang punca, seorang yang mampu membimbing mereka walaupun sedikit
di kala mereka mula keliru ke mana arah tuju mereka.

Aku juga mahu mereka merasa bagaimana perasaanku sekarang. Bagaimana rasanya punya alam yang tidak putus-putus mengingatkan aku tentang tanggungjawab aku yang sebenar-benarnya. Bagaimana rasanya punya Pencipta di sisiku,bagaimana nikmatnya mempunyai Dia sebagai teman aku di kala malam atau siang,

Biarlah segalanya yang datang dariku mampu memberi sebuah makna buat mereka yang lain. Biarlah segalanya datang dari hatiku yang ikhlas, dari hati yang mahu melihat umatnya terus teguh menegakkan agama Penciptanya .

Sudahkah aku menyentuh hati kalian? Adakah kalian turut rasa apa yang aku rasa?

Ya Allah,kurniakanlah hati-hati yang bersih kepada kami,hati-hati yang benar-benar tunduk dan patuh hanya kepadaMu. Satukanlah hati-hati kami ya Allah.

0 comments: