Oct 17, 2009

cita-cita

“Siti, nanti bila dah besar nanti awak nak jadi apa ek?”…“hmm…kita nak jadi cikgu. Macam yang kita selalu main tu. Awak?,”

“Kita pula nak jadi polis. Amir nak jadi tenterakan bila besar nanti?” soal Zaki pula.“Aah. Macam paksu.Nanti boleh naik jet, pegang senapang. Hebat…,” Amir menjawab.

Bunyi hon yang tiba-tiba itu melenyapkan lamunanku. Berkecai kenangan indah zaman itu. Zaman kanak-kanak yang semuanya ingin gembira dan mudah sentiasa. Di mana hanya ada aku. Tiada hati dan perasaan yang perlu kujaga. Tiada ujian dan tiada beban jua tanggungjawab.

* * *

Saya yakin setiap dari kita punya cita-cita, impian mahupun harapan. Soalan evergreen yang pasti akan ditanya dari kecil hingga dewasa. Yang berbeza cuma kematangan ketika menjawabnya. Masih samakah jawapan kita pabila ditanya soalan yang sama tika belasan tahun?. Mungkin jawapannya masih lagi sama cuma tujuan sahaja yang berbeza. Mungkin juga sudah tidak sama. Iyalah zamankan sudah berubah. Kita dah maju. Jika dulu mahu jadi doktor sebab nampak hebat, bergaya tapi bila dah lepas spm ni nak jadi doktor sebab bidang ini jadi tumpuan dan rebutan. Nampak hebat, gaji pun mantap. Siap ada title dr lagi, pasti orang hormat. Tidak kurang juga ada yang masih terkapai-kapai. Hanyut bersama deruan waktu. Masih belum punya halatuju. Bila ditanya mengapa? Jawabnya,”Ala. Rileks la, hidup ni kan untuk bergembira”. Masih leka dan alpa dengan dunia mereka sendiri. Gembira hidup tanpa beban tanpa tanggungjawab.

Berjawatan tinggi, rumah besar, kereta berjenama, dan telefon bimbit terkini. Hendak berbakti dan membalas jasa ibu dan ayah. Hanya itu sahajakah cita-citamu? Setakat itu sahaja? Melampaukah andai saya mempersoalkan cita-cita kalian yang juga cita-cita saya suatu masa dulu. Tamakkah saya? Bukan begitu maksud saya. Tidak terniat sedikit pun untuk memperlekehkan niat murni kalian. Sekadar ingin berkongsi rasa dan pandangan.

Kita sering berdoa,

“ Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab api neraka.”

Al-Baqarah 2:201

Bukankah ini doa yang sering kita panjatkan usai solat kita. Kebaikan dunia dan kebaikan di akhirat. Jadi mengapa harus usaha kita hanya tertumpu pada kebaikan dan kebahagiaan dunia?. Apa dengan semua itu menjamin kebaikan akhirat kita?. Bukankah dunia ladang semaian kita? Agar hasilnya dapat sama-sama kita tuai di alam baqa’ nanti. Andai kita hari ini sudah mula menabung demi masa depan kita nanti kenapa tidak kita juga menabung untuk sesuatu yang lebih pasti. Tidakkah kalian tahu bahawa doa itu hanya sia-sia tanpa usaha kita. Kebahagiaan akhirat itu bukannya diperoleh dengan doa dan tawakal semata-mata.

Habis, salahkah saya ingin menggapai cita dan impian saya selama ini? Haruskah saya melupakan semuanya? Tidak, bukan itu maksud saya. Tak salah untuk memasang angan. Kita juga punya hak dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan di dunia ini. Semua nya menuntut usaha dan pengorbanan kita. Cuma cita dan impian itu perlu dipanjangkan ke hadapan. Biar seimbang dunia dan akhirat. Jauh melangkaui batas masa dunia. Nun jauh dunia yang abadi. Negeri Akhirat. Allah berpesan di dalam kitabNya,

" Dan carilah (pahala) di negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagai mana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak suka orang yang berbuat kerosakan."

Al-Qasas 28:77

Menyingkap kembali tabir sejarah, Umar Abdul Aziz apabila ditanya apakah cita-citanya? Pantas dijawab syurga! Lantas beliau berusaha, dirinya, zuhudnya, adilnya, ibadahnya semua untuk Islam. Sumbangannya sebagai khalifah tidak terhitung. Semuanya demi syurga yang diimpikan. Usamah bin Zaid, panglima muda Islam. Tatkala disoal tentang apa mahunya, “aku ingin bersama mujahidin Islam”. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar. Pada usia muda 19 tahun, beliau diangkat sebagai panglima perang. Salahuddin al-Ayyubi apabila diserahkan kepadanya pemerintahan Mesir, beliau sering berkata, “ apabila Allah memberikan aku Mesir, aku merasakan Allah akan menganugerahkan Palestin juga padaku”. Lalu hidupnya hanya di khemah-khemah tentera bukan lagi di istana selesa. Saladin di medan perang bagaikan ibu yang kehilangan anaknya. Menunggang kuda dari hujung ke hujung barisan tenteranya melaung mengingatkan agar berjuang hanya kerana Allah. Berjuang dan meniupkan semangat jihad dalam diri tentera Islam. Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepadanya apabila Baitulmaqdis jatuh ke tangan Islam dari tentera Salib tanpa pertumpahan darah.

Hebat sungguh cita-cita mereka. Tinggi tak tergapai andai tanpa bimbingan iman dan taqwa. Jauh dari logik akal kita. Bermati-matian mereka berusaha. Bukan sahaja harta dan keluarga yang dikorbankan, malahan juga darah dan nyawa. Impian jauh melangkaui usia, melepasi batasan waktu. Umur yang diberkati. Biarpun jasad telah tiada, namun jasa dan semangat mereka masih kekal hidup. Hingga kini masih terasa manisnya. Semuanya untuk meneruskan perjuangan nabi yang disayangi lagi dicintai untuk sampai kepada kita hari ini.

Dan mereka? Sedang berbahagia menikmati janjiNya, menunggu masa menuai ladang dunia mereka.

Kita pula?

Masih belum terlewat saya kira untuk mengubah cita. Kita bukan lagi kanak-kanak yang hanya tahu berseronok bergembira, hanya diri sendiri yang difikirnya. Kita punya tanggungjawab. Berhentilah bercita-cita hanya untuk diri sendiri. Usahlah bermimpi untuk hidup yang senang dan mudah sahaja agar cepat dinikmati di dunia fana ini. Semua itu tidak kekal lama.

Bercita-cita tinggilah. Bermimpilah sejauh mungkin. Biar melangkaui langit ketujuh, hatta melepasi hujung dunia sekalipun agar sampai ke akhiratmu. Semoga dengan itu kita sama-sama memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat jua. Amin.

0 comments: