Jul 27, 2010

alam




Alhamdulillah, diberi kesempatan dari Allah untuk duduk bersama kenalan-kenalan baru berbumbungkan langit, berlantaikan pepasir pantai ,berhadapan lautan yang berombak tenang. Duduk sama-sama sambil menghayati keindahan alam, mentadabbur alam, cuba mendidik diri melihat alam dengan mata hati.

Sungguh Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Begitu juga alam. Alam dicipta khusus untuk kita bagi memenuhi tujuan penciptaan kita. Seakan office yang telah dilengkapi dengan kemudahan yang terbaik untuk membantu kita melaksanakan kerja kita. Kerja kita sebagai hamba dan khalifah di bumiNya.

Alam adalah karya Allah. Hasil ciptaan Allah. Pencipta Terbaik. Karya yang mana, mempunyai makna-makna yang tersirat di sebalik penciptaannya. Bukan sahaja sebagai ladang akhirat, alam juga sebenarnya mentarbiyah kita. Mendidik jiwa-jiwa yang melihat dengan alam dengan pandangan mata hati.

Alam adalah petanda bahawa adanya pencipta. Alam ini adalah salah satu symbol kepada kewujudan Allah. Sebagaimana kita mengenal jenis-jenis kereta berdasarkan lambang atau symbol yang terdapat pada badan kereta tersebut,begitu juga alam. Kita melihat alam sebagai satu sign pembuktian kewujudan Allah. insyaAllah, ini akan meneguhkan lagi keimanan kita.

Alam ini adalah ciptaan Allah,yang sentiasa berinteraksi, sentiasa berbicara dengan manusia tentang kehebatan dan keagungan Penciptanya. Tidak lepas dari sentiasa bertasbih. Sangat patuh pada Dia. Melaksanakan tugasannya tanpa membantah. Memenuhi ketetapan-ketetapan yang telah ditetapkan Allah. Bagaimana dengan diri kita?

Langit dan awan tetap teguh berdiri tanpa pasak. Pabila diperintah Allah menurunkan hujan , diturunkan hujan pada kadar yang ditetapkan. Diturunkan hujan pada tempat yang ditetapkan sehingga waktu yang ditetapkan,hujan berhenti menurut suruhan Allah. Betapa patuhnya alam pada sang Pencipta.

Betapa sebenarnya, kita boleh belajar banyak dari alam. Ketika kita memuji kecantikan dan keindahan alam,kita tidak harus lupa kepada Pencipta nya. Pencipta yang Maha Besar,sangat halus dan sangat teliti pada setiap penciptaan makhlukNya. Tidak dijadikan ciptaannya itu cincai-cincai.Tidak dijadikan langit itu kosong. Di hiasi langit dengan gumpalan awan. Tidak cukup dengan awan, dihiasi langit pada malam hari dengan kerdipan bintang-bintang dan sinaran rembulan. Maha Suci Allah. Dia Pencipta terbaik.

Oleh itu,jika alam patuh pada penciptanya,bagaimana dengan kita?


*melihat Dia di sebalik setiap ciptaanNya*

Categories:

0 comments: