Mar 21, 2012

Akhlak Kita


           Usai program hari itu, aku dan dua orang lagi akhawatku segera berkemas dan meninggalkan tempat program. Destinasi kami, Bandar Bintang. Siang sudah hampir ke penghujungnya dan malam mula melabuhkan tirai. Beberapa minit kami cuba menahan teksi, akhirnya sebuah teksi bersetuju membawa kami ke destinasi. Semua menarik nafas lega.

          Bukan apa, lantaran isu keselematan yang kurang stabil, 'mummy' kami meletakkan tempoh hanya sehingga jam 8 malam sahaja kami boleh berada di luar rumah. Jadi, kami agak mengejar masa. Bermulanya meter teksi tersebut, masing-masing mengeluarkan plastik berisi roti bekalan selepas program tadi. Semua kelaparan gamaknya. Habis sahaja membaca doa makan, terlintas di ingatan Ustaz menceritakan rungutan seorang pemandu teksi Arab padanya. 

 ketika itu bulan Ramadan di salah satu bandar di negara ini. Pemandu itu dan beberapa penumpang Melayu perempuan sedang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika azan menandakan waktu berbuka berkumandang. Penumpang-penumpang Melayu tadi segera menjamah makanan masing-masing setelah berpuasa seharian. Tetapi yang dikesalkan adalah kerana mereka tidak langsung mempelawa pemandu itu sedangkan dia juga kelaparan dan yang pasti dia juga seorang Muslim dan berpuasa. 

         Lalu, aku terus mempelawa pemandu teksi kami. Jika Ustaz tidak bercerita tentang hal itu, sudah menjadi adab bila kita makan di hadapan orang, kita mempelawanya. Itu adab, itu akhlak. Lebih-lebih lagi kita Muslim dan Melayu (yang popular dengan adab ketimurannya)
       
          Bercakap pasal akhlak, banyak yang perlu dimuhasabahkan. Logiknya, lagi lama bersama tarbiyah, lagi mantap akhlaknya. Tapi di mana level kemantapan kita? Agak-agak, kalau ada seorang hamba Allah sedang mencari nilai tambah untuknya menganuti Islam, adakah dengan memandang kita, tercerminnya segalanya tentang Islam itu? Adakah kita mampu menarik hatinya dengan keelokan akhlak kita? T_T

          Aku bukan orang selayaknya berbicara tentang ini. Aku juga masih mencuba. Sentiasa mencuba. Akhlak yang baik tak dapat dibentuk dalam masa sehari. Ianya berterusan. Terima kasih Allah kenalkan aku dengan tarbiyah, dengan ukhuwah fillah di jalan ini, yang menjadi 'support system' untuk aku terus memperbaiki diri. Berakhlaklah seperti akhlak Nabi. Dan akhlak Nabi itu seperti akhlak al-Quran al-Karim.

*maaf andai ada yang terguris, sama ada secara langsung atau tidak

0 comments: