Dec 8, 2009

Qalb = Hati





Kita terdiri daripada tiga perkara iaitu hati, jasad dan akal. Hati dan akal tak dapat wujud tanpa jasad. Akal, terletak dalam kepala kita, dan hati dekat jantung . Kita menggunakan jasad untuk pergi ke hati dan akal. Contohnya ilmu, memerlukan proses input dan output yang ada pada jasad untuk masuk ke dalam kepala kita. Tapi, dengan ilmu tak semua benda yang orang tahu, orang akan buat. Kenapa? Contohnya doktor-doktor di negara-negara eropah dan barat tahu arak tak baik untuk kesihatan tapi mereka meminumnya. Dengan ilmu yang ada dalam akal tak cukup untuk menolak jasad untuk beramal (beribadah pada Allah s.w.t).Jadi untuk mengaplikasikan ilmu memerlukan kekuatan hati.

Hatilah lebih tinggi kedudukannya daripada akal. Hatilah yang menentukan sama ada orang itu beramal atau tidak. Hati juga menentukan ilmu apakah yang akan dipelajari oleh seseorang. Tapi, dengan ilmu itu, manusia telah menyumbatkannya ke dalam akal semata-mata, hingga menyusahkannya untuk belajar dan kurang beramal. Cuba anda fikirkan, kalaulah seseorang itu belajar di Fakuti Engineering boleh membawanya kepada beramal, nescaya ramai orang di Fakulti Engineering memeluk Islam. Begitu juga pelajar-pelajar perubatan, semuanya akan menjadi hamba Allah yang baik. Jadi, terbuktilah ilmu yang ada dalam akal semata-mata tak dapat membawa manusia kepada beramal dan menyedarkannya sebagai pemegang amanah di atas muka bumi ini. Inilah yang dinamakan ilmu wahyu, yang dapat memanfaatkan ilmu-ilmu yang kita pelajari untuk memikul amanah yang Allah berikan kepada kita. Ilmu wahyu membawa kita memahami dan mentadabbur al-Quran, bukan saja kepada akal, tapi kepada hati juga. Sebab itulah Allah sebut di dalam al-Quran, orang yang terkunci hatinya ialah orang yang tak dapat mentabbur al-Quran. Firman Allahs.w.t:-

“Maka tidakkah mereka menghayati al-Quran,atau hati mereka yang terkunci” (47:24)

Kalau hati sudah terkunci, bagaimana hendak mentadabbur al-Quran? Ramai orang pandai membaca al-Quran dan mengkhatamkan al-Quran, termasuk orientalis barat. Mereka bukan setakat membeli dan membacanya, malah mengkaji kitab suci ini secara detail. Malangnya apa yang mereka lakukan tidak memberi kesan kepada hati dan jauh daripada hidayah. Tapi dimanakah kita hendak mencari orang-orang yang mentadabbur al-Quran? Apabila mereka mentadabbur al-Quran, mereka dapat memahami isi kandungan ayat-ayat suci ini dengan hati mereka. Cara mentadabbur ayat-ayat suci ini tidaklah sama seperti membaca surat pekeliling, surat agreement dan lain-lain. Sebab itulah Allah turunkan Al-Quran untuk hati, supaya apa-apa yang Allah sampaikan masuk ke dalam hati manusia, sehingga kita perasan dan terasa apakah benda yang ingin disampaikan. Cuba anda bayangkan, samakah mendengar ceramah dengan melihat wajah penceramah atau hanya mendengar rakaman suaranya sahaja? Apabila melihat wajah penceramah, kita dapat melihat mimik mukanya sama ada gembira, marah atau sedih. Barulah ceramah yang disampaikan sekali dengan perasaan itu memberi impak kepada hati setiap hadirin. Untuk memahami dengan hati tidak memerlukan ijazah tertentu, atau ilmu hingga peringkat tertentu seperti akal, supaya dapat memahaminya. Ramai mak cik-mak cik yang tidak bersekolah pun boleh menangis bila menonton drama, cerekarama dan sinetron yang ditayangkan di kaca tv, sudah tentulah kerana mereka menghayati apa yang ditonton dengan hati!

Amalan-amalan zahir juga dapat mengotorkan hati. Bagaimana? Di sini saya ingin bawakan firman Allah s.w.t:-

“Wahai orang-orang yang beriman,janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali jika kamu diizinkan untuk makan tanpa menunggu waktu masak(makanannya), tetapi jika kamu dipanggil maka masuklahdan dan apabila kamu selesai makan, kelurlah kamu tanpa memanjangkan percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga dia(Nabi) malu kepadamu(untuk menyuruhmu keluar), dan Allah tidak malu(menerangkan) yang benar.Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka(isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti(hati) Rasulullah dan tidak boleh pula menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah nabi wafat. Sungguh yang demikian itu sangat besar dosanya di sisi Allah,”(33:53)

Ayat di atas mengandungi banyak hikmah. Tapi, secara keseluruhannya, ayat ini menyuruh kita supaya mempunyai hati yang sensitif, supaya kita dapat tahu perasaan orang lain tanpa dia memberitahunya kepada kita. Dalam kisah ini, Allah swt menegur para sahabat yang selalu hendak berdampingan nabi. Tapi mereka kurang faham kesibukan Nabi. Tujuan sahabat duduk dengan nabi adalah supaya mendapat berkat dan melihat wajah nabi mendapat pahala. Jadi, semua sahabat hendak duduk dekat nabi dan bilangan mereka bukanlah sedikit. Rumah nabi pula tidak begitu besar untuk memuatkan mereka semua. Sahabat yang datang juga hendak makan di rumah Nabi, sehingga ada yang datang awal sebelum waktu makan. Perasaan sahabat memanglah sangat baik untuk berdampingan dengan nabi, tapi mereka perlu faham keadaan nabi yang sibuk. Kemudian Allah menegur lagi, jika sudah habis makan, terus pulang tanpa bersembang panjang. Dan ada dikalangan para sahabat yang datang hendak meminta sesuatu kepada isteri nabi. Allah menyuruh mereka memintanya melalui belakang tabir. Orang yang meminta itu adalah para sahabat, orang yang terbaik selepas nabi dan orang yang memberi itu adalah isteri-isteri nabi, orang-orang yang terbaik di kalangan umat Nabi, ibu-ibu orang mukmin. Aisyah adalah ibu kepada Saidina Umar ra dan Hafsah adalah ibu kepada Saidina Abu Bakar ra. Walaupun hendak meminta barang daripada ibu pun Allah tetap menyuruh para sahabat supaya melalui tabir. Dan ayat ini pula bukan diturunkan kepada para sahabat dan isteri-isteri nabi sahaja. Jika para sahabat orang yang paling baik, meminta kepada isteri nabi yang juga orang paling baik pun dikenakan hijab, inikan pula kita yang kurang baik daripada mereka, lebih-lebih lagilah perlu kena hijab. Sebab apa kena hijab? “Cara yang demikian lebih suci bagi hatimu dan hati mereka”. Jadi Allah mengajar kita supaya hati kita tidak kotor. Dengan suatu pandangan akan masuk ke hati dan mengotorkannya.

Jadi hati dapat menggunakan jasad untuk beramal(kerja baik) dan untuk kerja-kerja yang tidak baik. Jika hendak berubah menjadi baik, periksalah hati kita. Jika hati masih keras, gelap, hitam dan terkunci susah untuk berubah melainkan dengan melembutkan hati itu kembali seperti firman Allah swt:-

(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram,” (13:28)

“maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada,” (22:46)

Categories:

0 comments: